Wednesday, September 12, 2012

Piring Pinjaman

Assalamualaikum w.b.t. Teringin rasanya hatiku pada hari ini untuk mereka sebuah kisah. Terlebih dahulu, izinkan aku meletakkan nama-nama watak yang terilham di benar akalku.

Watak utama: Jijimat
Jiran 1: Fitri
Jiran 2: Saha
Jiran 3: Zaid

Sekiranya nama-nama di atas mirip dengan nama anda, aku memohon kemaafan. Nama saja yang sama, tetapi sikap peribadi watak-watak ini rekaan penulis sahaja.

Alkisahnya

Pada suatu malam Jumaat Keliwon, Jijimat sedang khusyuk menonton drama TV 'Waris'. Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk. "Assalamualaikum. Jijimat, Jijimat! Aku jiranmu, Fitri. Aku datang bersama-sama Saha dan Zaid."


Dari balik pintu rumah, Jijimat menjawab: "Waalaikumussalam. Iya jiran-jiranku, apakah hajat kalian bertandang di rumahku waktu malam sebegini? Ada liqa-kah?"

"Bukan. Kami bertiga berhajat untuk meminjam piring yang ada di rumahmu. Nak pinjam tiga bijik je. Boleh?" jelas Fitri.

Jijimat kemudiannya membuka pintu dengan membawa piring-piring yang dihajatkan oleh jiran-jirannya. Diberikannya setiap seorang dengan satu piring. Ketiga-tiga jirannya pulang ke rumah masing-masing setelah mengucapkan terima kasih.

Keesokan malamnya...

"Assalamualaikum. Jijimat, Jijimat! Kami jiran-jiranmu. Kami datang untuk memulangkan piring yang kami pinjam," ujar Fitri, Saha, dan Zaid serentak (seperti menghafal dialog).

Setelah jiran-jirannya pergi, Jijimat memeriksa piring-piring yang dikembalikan kepadanya. Piring pertama kelihatan sangat bersih, langsung disimpannya di tempat rak piring.

Piring kedua pula mempunyai sedikit kotoran minyak. Maka Jijimat membasuh piring itu sehingga bersih. Setelah yakin kotoran pada piring itu sudah dihilangkan, diletakkannya piring itu di sebelah piring yang pertama.

Tiba pada piring yang terakhir, riak muka Jijimat berubah serta-merta. Didapatinya piring itu mempunyai keretakan yang mencacatkan rupa piring itu. Memandangkan piring itu sudah tidak boleh digunakan lagi, langsung dibuangnya ke dalam tong sampah.

Sekilas Renungan

Di hari akhirat kelak, kita semua akan dihimpunkan oleh ALLAH SWT untuk dihisab. Kita akan kembali kepada ALLAH dengan pelbagai bentuk dan keadaan, sama seperti piring-piring dalam cerita ini juga.

Jika kita datang menghadap ALLAH dengan keadaan yang bersih dari sebarang dosa, maka serta-merta DIA akan menempatkan kita ke dalam syurga-NYA.

Tetapi sekiranya kita datang dengan membawa dosa, ALLAH akan membersihkan kita terlebih dahulu dengan hukumannya yang setimpal dengan perbuatan kita. Setelah kita menjalani segala hukuman, barulah kita dimasukkan ke dalam syurga.

Malang sekali jika kita datang menemui ALLAH dengan dosa-dosa besar yang memang tidak bisa diampunkan lagi. Seandainya kita mati tanpa mengakui ALLAH itu tuhan kita, nescaya tiada ruang untuk kita ke syurga. Langsung saja ALLAH memasukkan kita ke dalam neraka-NYA.

Khatimul Kalam

Sidang pembaca, aku cuma mampu menyampaikan dan mengingatkan diriku sendiri. Selanjutnya adalah usaha kita sendiri untuk memilih keadaan yang bagaimanakah kita ingini. Ini bukan perkara main-main. Sudah jelas ALLAH berfirman:

Dan bahawasanya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. [QS 53: 39-41]




Apakah madah yang kau ingin tuliskan?

No comments:

Post a Comment